Category: Pelaburan

  • FIKRA ACE SC Pacu Inovasi Fintech Islam, Pertumbuhan Untuk ICM

    FIKRA ACE SC Pacu Inovasi Fintech Islam, Pertumbuhan Untuk ICM

    Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengumumkan pelancaran FIKRA ACE, inisiatif fintech dalam membangunkan ekosistem pasaran modal Islam (ICM) dengan memudahcarakan pembangunan fintech Islam melalui pendekatan berstruktur.

    FIKRA ACE merupakan inisiatif tiga tahun yang dipertingkatkan berikutan pelancaran program pemacu teknologi kewangan (fintech accelerator) Islam sulung SC – FIKRA, pada Mei 2021.

    Melalui pendekatan pemacu tunggal, FIKRA ACE kini terdiri daripada tiga komponen:

    a) Accelerator yang merupakan program pemacu bertumpukan penyelesaian Islam;
    b) Circle, platform rangkaian untuk menghubungkan pihak berkepentingan berkaitan pasaran modal Islam dan industri fintech dan;
    c) Excel, platform kerjasama dengan institusi pengajian tinggi untuk pembinaan kapasiti

    Inisiatif ini akan mengenal pasti syarikat dengan penyelesaian fintech untuk memupuk, mengembangkan dan berhubung dengan ekosistem ICM dalam pelbagai segmen. Inisiatif ini juga bertujuan untuk menyokong ruang fintech Islam dengan membina kapasiti dan saluran bakat untuk industri.

    Bagi kohort 2023, tiga bidang tumpuan FIKRA ACE ialah kewangan sosial Islam, pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI) patuh Syariah dan pengurusan dana dan kekayaan Islam.

    Pengerusi SC Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata: “Malaysia mempunyai keupayaan untuk mengekalkan ekosistem teknologi kewangan Islam yang berkembang maju dengan memanfaatkan kepimpinan globalnya dalam pasaran modal Islam.”
    “Ketika kita menyaksikan pertumbuhan dan inovasi yang luar biasa dalam fintech Islam, kita diingatkan tentang potensi yang dimilikinya untuk industri kewangan Islam dan ekonomi global yang lebih luas,” katanya.

    Pada tahun 2021, urus niaga fintech Islam di negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berjumlah USD79 bilion. Walaupun ini mewakili 0.8% daripada volum transaksi fintech global, segmen ini diunjurkan berkembang kepada USD179 bilion menjelang tahun 2026, iaitu pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) 17.9%1.

    FIKRA ACE dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sebagai rakan kongsi ekosistem dan strategik. Program accelerator untuk kohort 2023 dijangka bermula pada bulan Ogos.

    Syarikat dengan penyelesaian fintech yang inovatif dijemput untuk mengemukakan permohonan, yang dibuka sehingga 4 Ogos 2023.
    Untuk maklumat lanjut mengenai komponen-komponen FIKRA ACE, sila layari https://www.sc.com.my/fikra-ace. Untuk pertanyaan, sila rujuk ke fikraace@seccom.com.my.

    Mengenai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

    Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), sebuah badan berkanun yang melapor kepada Menteri Kewangan, ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Ia merupakan agensi kawal selia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung untuk menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa dan rumah penjelasan, dan mengawal selia semua individu yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Maklumat lanjut mengenai SC boleh didapati di laman sesawangnya di www.sc.com.my. Ikuti SC di twitter di @SecComMy untuk perkembangan terkini.

  • Permohonan Dibuka Untuk Program Felo Sarjana Tamu SC-OCIS Di Pusat Pengajian Islam Oxford, UK

    Permohonan Dibuka Untuk Program Felo Sarjana Tamu SC-OCIS Di Pusat Pengajian Islam Oxford, UK

    Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mempelawa para sarjana untuk memohon penyertaan dalam Program Felo Sarjana Tamu (SIR) ke-12 dalam bidang Kewangan Islam, di Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) bagi sesi akademik 2023/24.

    Program SIR terbuka kepada ahli akademik atau pengamal yang berkebolehan dalam menjalankan penyelidikan gunaan secara bebas mengenai topik kontemporari yang berkait rapat dengan pasaran modal Islam.

    Bidang keutamaan termasuk kewangan sosial Islam, pelaburan berimpak, teknologi kewangan, kewangan peralihan dan yang berkaitan dengan pelaburan mampan dan bertanggungjawab.

    Pemohon yang mempunyai kepakaran dalam kewangan Islam dan/atau disiplin yang berkait rapat dengan pengalaman praktikal yang luas dalam bidang berkaitan adalah digalakkan untuk memohon.

    Pemohon yang berjaya dijangka akan menetap selama satu tahun akademik di OCIS mulai Oktober 2023. Sebagai sebahagian daripada program, sarjana terpilih juga sesekali dikehendaki menyampaikan syarahan dan mengadakan seminar, terlibat dalam kajian kolaboratif, dan menyumbangkan tenaga kepada institusi berkaitan.

    Program ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan SC untuk memacu pembangunan global yang mampan bagi pasaran modal Islam, dengan kepimpinan pemikiran sebagai tonggak utama.

    Tarikh tutup penyerahan permohonan ialah 19 Jun 2023. Sila layari https://www.oxcis.ac.uk/form/sc-ocis-islamic-finance-vf-2023- untuk memohon.
    Untuk butiran lanjut mengenai Program SIR, sila lawati bahagian Visiting Fellowship di laman web OCIS di www.oxcis.ac.uk.

    Mengenai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia:

    Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), sebuah badan berkanun yang melapor kepada Menteri Kewangan, ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Ia merupakan agensi kawal selia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung untuk menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa dan rumah penjelasan, dan mengawal selia semua individu yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Maklumat lanjut mengenai SC boleh didapati di laman sesawangnya di www.sc.com.my. Ikuti SC di twitter di @SecComMy untuk perkembangan terkini.

  • Siri Penyelidikan ICMR: Pelabur Malaysia Terdedah Kerana Tingkah Laku Pelaburan Dan Simpanan Yang Lemah

    Siri Penyelidikan ICMR: Pelabur Malaysia Terdedah Kerana Tingkah Laku Pelaburan Dan Simpanan Yang Lemah

    Landskap pelaburan hari ini mempunyai banyak cabaran. Persekitaran ekonomi semasa yang berinflasi tinggi dan kos sara hidup yang lebih tinggi telah mengakibatkan peningkatan ketidaktentuan di dalam pasaran kewangan. Sementara itu, populasi yang semakin berumur menambah tekanan terhadap simpanan persaraan. Kesan daripada trend global ini, rakyat Malaysia menjadi semakin terdedah di dalam perjalanan pelaburan mereka.

    Institute for Capital Market Research Malaysia (ICMR) telah menjalankan kajian di seluruh negara untuk lebih memahami keterdedahan zaman baru ini. Kami mendapati punca bagi kelemahan pelabur datang daripada pelbagai sudut dan boleh dikelaskan secara amnya kepada tiga kategori berdasarkan ciri-cirinya. Dalam artikel ini, kami akan meneroka kategori pertama dan yang paling biasa: tingkah laku kewangan dan kebolehcapaian.

    Lebih Banyak Keputusan, Lebih Letih

    Penemuan tinjauan kami mendapati bahawa kebanyakan pelabur Malaysia mengalami kelemahan disebabkan oleh tingkah laku kewangan mereka dan kebolehcapaian terhadap produk dan perkhidmatan kewangan. 93% daripada responden yang dikaji mempunyai tiga atau lebih tingkah laku dan akses yang boleh membuatkan mereka berasa terdedah, termasuklah persepsi mereka tentang status kewangan mereka sendiri, tingkah laku simpanan dan celik kewangan.

    Daripada sudut persepsi status kewangan, kebanyakan rakyat Malaysia melaporkan bahawa mereka tidak stabil daripada segi kewangan atau hidup kais pagi makan pagi, yang mempengaruhi tahap tekanan kewangan dan kesejahteraan mereka. 74% daripada mereka yang tidak stabil daripada segi kewangan dan 54% yang hidup kais pagi makan pagi, mengaku bahawa mereka sentiasa berasa tertekan dan bimbang apabila memikirkan tentang masa depan kewangan mereka.

    Jadual 1: Status Kewangan Yang Dirasa (Sumber Data: ICMR)

    Kajian tingkah laku terdahulu telah menunjukkan bahawa semakin banyak keputusan yang terpaksa dibuat, semakin banyak keletihan yang terhasil, seterusnya membawa kepada kualiti membuat keputusan yang semakin merosot – sebuah konsep yang dikenali sebagai keletihan keputusan. Lebih-lebih lagi, individu yang kerap mengalami tekanan kewangan cenderung mengalami keletihan membuat keputusan yang lebih teruk berbanding individu lain.

    Sememangnya, 61% daripada mereka yang tidak stabil daripada segi kewangan dan 42% daripada mereka yang hidup kais pagi makan pagi mengakui bahawa mereka mengalami keletihan mental apabila memikirkan tentang perancangan kewangan dan lebih suka untuk mengikut keputusan ahli keluarga dan rakan-rakan mereka. Seperti yang ditonjolkan di dalam artikel kami sebelumnya, ini menyebabkan mereka lebih terdedah kepada penipuan, diperdaya dan mencipta gelembung pelaburan.

    Tidak Cukup Simpanan Untuk Waktu Sukar

    Di samping status kewangan, ICMR juga berusaha untuk memahami tingkah laku simpanan rakyat Malaysia, memandangkan betapa pentingnya untuk mempunyai simpanan yang mencukupi bagi memastikan daya tahan kewangan terhadap sebarang kejutan dalam kehidupan yang tidak dijangka. Berdasarkan panduan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), adalah disyorkan bahawa rakyat Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya  20% simpanan bulanan dan 6 bulan simpanan kecemasan.

    Satu andaian biasa ialah rakyat Malaysia secara amnya tidak mengetahui tanda aras simpanan ini, tetapi penemuan ICMR mencadangkan sebaliknya. Walaupun 43% responden tahu bahawa mereka harus menyimpan 20% daripada pendapatan bulanan mereka, hanya 23% yang benar-benar mengikutinya. Begitu juga dengan dana kecemasan, 34% tahu bahawa mereka memerlukan simpanan sebanyak 6 bulan atau lebih, tetapi hanya 22% yang mendakwa mempunyai jumlah tersebut untuk kecemasan.

    Jadual 2: Tingkah Laku Simpanan dan Simpanan Kecemasan

    Satu lagi andaian ialah mereka yang berpendapatan tinggi boleh menyimpan paling banyak, manakala tekanan kewangan biasanya dikaitkan dengan mereka yang berpendapatan rendah. Kajian kami sekali lagi mencabar andaian ini, kerana penemuan kami menunjukkan bahawa 68% responden di dalam kumpulan berpendapatan tinggi menyimpan kurang daripada 20% pendapatan bulanan mereka dan 76% mempunyai simpanan kecemasan kurang daripada 6 bulan.

    Memandangkan rakyat Malaysia sedang bergelut untuk menyimpan secara tetap dan tidak mampu untuk menampung kewangan mereka semasa waktu sukar, adalah sukar untuk mengharapkan mereka untuk menunjukkan tabiat menyimpan yang lebih baik bagi matlamat jangka masa panjang seperti persaraan. Ini kemudiannya membawa kepada faktor lain yang mentakrifkan kelemahan pelabur di Malaysia – simpanan persaraan atau kekurangannya.

    Kurangnya Persediaan Persaraan

    Berdasarkan andaian bahawa seseorang itu akan bersara pada umur 55 tahun dan jangka hayat di Malaysia ialah 75 tahun, simpanan seseorang itu perlu bertahan sekurang-kurangnya 20 tahun. Walau bagaimanapun, apabila kami bertanya kepada responden kami berapa lama mereka menjangkakan simpanan semasa dan simpanan KWSP mereka akan bertahan selepas bersara, 75% berpendapat bahawa jumlah simpanan persaraan mereka akan bertahan kurang daripada 20 tahun yang diperlukan selepas bersara nanti.

    Punca utamanya adalah disebabkan oleh kekurangan simpanan persaraan, terutamanya dalam kalangan pesara dan pekerja gig. 62% pekerja gig yang ditinjau mendakwa mempunyai simpanan persaraan kurang daripada RM50,000, dan yang lebih membimbangkan ialah 70% pesara yang dikaji mempunyai simpanan persaraan kurang daripada RM250,000 – lebih rendah daripada anggaran KWSP untuk menampung keperluan asas selama 20 tahun selepas bersara.

    Jadual 3: Simpanan Persaraan mengikut Kumpulan Umur

    Walaupun mereka yang berumur 40 tahun dan ke bawah cenderung untuk memenuhi aras simpanan asas persaraan seperti yang ditetapkan oleh pihak KWSP, sebaik sahaja mereka mencapai umur 41 tahun, lebih separuh daripada pencarum KWSP tidak dapat memenuhi sasaran simpanan asas bagi setiap kumpulan umur. Ini mungkin disebabkan oleh mereka mula mengeluarkan simpanan KWSP mereka untuk pinjaman rumah, pendidikan anak-anak, atau perbelanjaan kesihatan.

    Bagi melengkapkan lagi penemuan tinjauan kami, ICMR turut menjalankan temu bual kualitatif dengan pesara di Lembah Klang. Mereka yang ditemu bual berkongsi bahawa mereka tidak tahu apa yang perlu dilakukan dengan jumlah besar simpanan yang boleh diakses oleh mereka selepas bersara. Akibatnya, mereka cenderung untuk melabur secara cuba-jaya dan mengikuti nasihat daripada rakan dan keluarga – di mana ramai yang dibelenggu dengan pelaburan yang gagal.

    Terlalu Yakin Tentang Celik Kewangan

    Walaupun rakyat Malaysia pada umumnya tidak mempunyai simpanan yang cukup dan tidak bersedia untuk bersara, penemuan ICMR juga menunjukkan bahawa mereka terlalu yakin dengan tahap pengetahuan kewangan mereka. Hanya 39% daripada responden mendapat markah 80% – 100% dalam ujian celik kewangan mudah yang disediakan oleh ICMR – tetapi 67% daripada responden mendakwa sangat yakin dengan keupayaan kewangan mereka.

    Jadual 4: Skor Celik Kewangan & Keyakinan Kewangan (Sumber Data: ICMR)

    Topik seperti faedah kompaun, inflasi, risiko dan pulangan, kos peminjaman dan kepelbagaian, dianggap sebagai yang paling asas untuk menguji pemahaman responden tentang beberapa konsep kewangan utama. Walau bagaimanapun, adalah membimbangkan untuk melihat 59% daripada responden yang mendapat markah lebih rendah daripada 80% (kurang daripada 4 soalan betul) berasa sangat yakin tentang keupayaan kewangan mereka.

    Kesan terlalu yakin dapat diperhatikan apabila keyakinan subjektif individu terhadap keupayaan mereka sendiri lebih besar daripada prestasi objektif (sebenar). Keyakinan yang berlebihan telah dikaitkan dengan pelbagai isu. Secara umumnya, dalam kalangan pelabur, sikap terlalu yakin telah dikaitkan dengan pengambilan risiko yang berlebihan dan berkemungkinan besar menyebabkan mereka membuat keputusan kewangan yang salah.

    Keyakinan berlebihan juga mempunyai kaitan dengan kecenderungan optimisme seseorang semasa membuat keputusan pelaburan atau kewangan yang lebih luas. Bias optimisme merujuk kepada kecenderungan orang ramai untuk menilai terlalu tinggi kebarangkalian kejadian positif dan merendah-rendahkan kebarangkalian kejadian negatif yang boleh berlaku kepada mereka pada masa hadapan. Pemikiran seperti ini adalah berbahaya dan sering menyebabkan pelabur membuat keputusan kewangan yang melulu.

    Keterdedahan Pelabur Adalah Pelbagai

    Membuat keputusan kewangan yang baik bukanlah tugas yang mudah bagi kebanyakan orang. Mereka perlu mengatasi kecenderungan berat sebelah dan mempertimbangkan kepuasan keuntungan jangka masa pendek terhadap perkara yang bermanfaat untuk jangka masa panjang. Cabaran untuk membuat keputusan kewangan yang baik menjadi lebih sukar apabila faktor seperti tekanan kewangan menghalang seseorang daripada membuat keputusan yang optimum dengan fikiran yang waras.

    Namun begitu, kajian ICMR menyerlahkan bahawa ‘jenis’ kelemahan yang berbeza kerap bertindih dan berkait rapat – bermakna kesukaran kewangan tidak selalunya mudah untuk dikaitkan dengan satu ‘punca’ tertentu. Nantikan artikel kami seterusnya di mana kami meneroka bagaimana keadaan situasi dan isu berkaitan industri juga boleh menyebabkan kelemahan baru bagi pelabur Malaysia.

    Artikel ini adalah sebahagian daripada siri kandungan oleh Institute for Capital Market Research (ICMR). Ikuti laman Facebook ICMR untuk mendapatkan info terkini tentang petua tingkah laku dan pandangan, untuk tabiat pelaburan yang lebih baik. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kajian ICMR ke atas milenial dan Gen Z, layari www.icmr.my atau muat turun laporan penuh di sini.

    Mengenai Penulis

    Datin Aida Jaslina Jalaludin, Ketua Penyelidik, ICMR
    Nadhirah Ibrahim, Penganalisis Penyelidik, ICMR